Masukkan kod di sini

Wednesday, December 29, 2010

PTPTN Baru Berasaskan Ujrah

Assalamualaikum...

disini sy kongsikan bersama kepada para pembaca blog saya ulasan dan penjelasan

konsep ujrah yang ditulis oleh ustaz Zaharudin Abd Rahman..

diharap bermanfaat buat semua..wallahua`lam..


PTPTN Baru Berasaskan Ujrah : Ulasan Saya

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

ptptnpic.jpg

Ada yang bertanya saya berkenaan pengumuman rasmi PTPTN yang mengkhabarkan pertukaran konsep pinjaman sebelum ini yang berasaskan caj perkhidmatan (peratusan tertentu disandarkan kepada jumlah pinjaman dan baki setiap bulan) kepada konsep ujrah.

Konsep ini telah diluluskan oleh Jawatnkuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam pada 28 Julai 2008.

Atas dasar itu, saya boleh mengucapkan tahniah kepada PTPTN atas perubahan terbaru yang dilakukan. Walaupun konsep baru tersebut masih boleh dibincangkan, namun ia adalah lebih baik berbanding konsep caj perkhidmatan sebelum ini yang tidak disahkan oleh mana-mana majlis Syariah, selain kejelasan unsur riba dalam kiraannya.

Apa yang paling menonjol dalam kiraan terbaru adalah perbezaaan peratusan yang dikenakan kepada pelajar, dahulu dikenakan 3 % dari jenis kiraan ‘reducing balance' atau 3 % dari hutang berbaki yang jelas adalah RIBA, ia juga sama dengan cara kiraan riba oleh bank-bank konvensional.

Dengan konsep ujrah sekarang, caj telah diturunkan kepada 1 % dan ia pula bersifat flat dan tidak lagi dikira berdasakan baki bulanan pinjaman. Secara umumnya, ia jauh lebih murah berbanding cara kiraan sebelum ini. Menurut statisik perbandingan dari petikan akhbar berikut (buka halaman 15 ), penurunan adalah sebanyak 47 - 48 %.

UJRAH

Untuk pengetahuan pembaca, ‘Ujrah' adalah perkataan di dalam bahasa arab yang membawa erti "upah". Ia mempunyai kaitan dengan istilah ‘Ijarah' iaitu sewa, kerana ijarah juga ada satu jenis dari upah, iaitu upah atas manfaat yang diberikan. Contohnya, sewaan rumah, beerti upah atas manfaat rumah yang disewakan. Ujrah juga boleh diletakkan di atas sesuatu tugas dan kerja, lalu ia dinamakan ‘gaji' bagi para pekerja tetap di institusi awam dan swasta. Ia juga boleh tergolong dalam nama ‘komisyen' jika diletakkan kepada sebuah kontrak wakil (agency)seperti seorang broker tanah yang mengutip upah atau komisyen atas usahanya menjuakan tanah pemilik. Semua konsep ujarh dalam setiap kontranya mempunyai tatacara dan syaratnya agar ia dianggap sah dan halal di sisi syara'.

Justeru, apakah perbezaaan di antara ‘upah' yang halal dan ‘caj perkhidmatan' yang haram?

Secara dasarnya, ia boleh jadi sama dan boleh berbeza bergantung kepada cara dan formula kira-kiranya. Melihat kepada formula kiraan antara keduanya, Alhamdulillah terdapat perbezaan tetapi ada yang masih sama.

YANG BERBEZA

Bagi konsep ujrah yang terbaru, formula kiraannya adalah :

Upah = Jumlah pembiayaan diluluskan x kadar upah x tempoh bayaran balik

Contoh, jika sekiranya pelajar meminjam sebanyak RM21,000, maka kadar upah adalah satu peratus setahun, UNTUK TEMPOH BAYARAN SEMULA 10 TAHUN, maka jumlah upah adalah:-

Upah = RM21,000 x 1% x 10 (tahun)

= RM 2,100

Maka jumlah keseluruhan yang akan ditanggung atau perlu dibayar balik oleh pelajar dalam tempoh 10 tahun adalah : RM21,000 + RM 2,100 = RM23,100

Jumlah ini jauh lebih kecil berbanding cara kiraan caj perkhidmatan yang akan menghasilkan jumlah RM25,116 iaitu dengan nilai RM 4,116 jumlah caj perkhidmatan ribanya.

APA YANG SAMA DAN SEPATUTNYA BERBEZA JUGA

Walaupun tahniah diucapkan, pintu kritikan ilmiah, pembaikpulihan dan cadangan tidak tertutup semestinya, malah ia patut sentiasa digalakkan bagi mengembangkan kefahaman ilmu muamalat Islam.

Justeru, sekalipun cara kiraan ini kelihatan murah dan baik, serta TELAH disahkan oleh Jawatankuasa Fatwa Malaysia, cara kiraan ini tetap tidak berjaya menembusi piawaian hukum yang diputuskan oleh para ulama antarabangsa. Ini adalah kerana cara kiraannya masih terdapat yang sama dengan cara kiraan riba sebelum ini. Iaitu pada sandaran caj upah. Dahulu ia disandarkan kepada jumlah pinjaman, dalam konsep ujrah terbaru juga disandarkan kepada jumlah pinjaman.

Sekadar ingatan kembali, di dalam hukum Islam, pemberi pinjaman sama ada individu, institusi kewangan swasta atau kerajaan, TIDAK BOLEH mengenakan sebarang caj kewangan kepada peminjam khususnya dari jenis peratusan yang disandarkan kepada jumlah pemberian pinjaman. Berubah dengan berubahnya jumlah pemberian pinjam.

Namun cara kiraan yang diguna pakai oleh PTPTN 'ujrah' yang baru masih disandarkan kepada jumlah atau nilai pinjaman yang diberikan. Selain atas dasar kefahaman nas, para ulama antarabangsa melarangnya untuk mengelakkan caj upah ini menjadi helah kepada riba (helah ribawiyah) yang asalnya caj tambah kepada pinjaman kerana tempoh (time value of money). Kerana dari sudut konsep dan jurus pandangan ekonomi, kedua-dua jenis caj riba dan upah itu adalah sama. Jalan keluar yang paling kukuh adalah TIDAK MENJADIKAN jumlah pinjaman sebagai sandaran untuk mengira upah.

Menurut keputusan Majlis Fiqh Antarabangsa dan lain-lain majlis Shariah yang berautoriti tanpa kepentingan tertentu di mana-mana syarikat dan institusi kewangan di seluruh dunia, caj yang dibenarkan dikenakan kepada peminjam hanyalah kos sebenar yang lahir dari urusan pemberian pinjaman sahaja.Ia tiada kaitan dengan nilai pemberian pinjam.

Cara kiraan caj atau kos sebenar itu menurut ijtihad ulama antarabangsa adalah berdasarkan formula berikut[1]:-

Ujrah = Actual Administrative Expenses During The Year x 100

Average Asset During The Year

Untuk mendapatkan average asset during the period berikut formulanya :

Average asset = A1 + A2

2

Nota Keterangan

A 1 : Total asset at beginning of the period

A 2 : Total Asset at the end of the period

Cara inilah yang juga diiktiraf di Pakistan dan ulamanya, serta diamalkan bagi sebahagian jenis pinjaman di sana. Cara kiraan ini tidak meletakkan sebarang ikatan kepada jumlah pinjaman yang diberi. Ia lebih menepati ijtihad majoriti ulama sedunia.

KESIMPULAN

Apapun, yang pasti para pelajar Islam kini boleh menarik nafas lega kerana harga yang lebih murah dan kedua, ia TELAH disahkan oleh sekumpulan ulama Malaysia. Justeru, tiada lagi sebarang tanggungan spiritual yang harus mereka galas apabila mengambil pinjaman PTPTN. Saya peribadi, saya mengucapkan tahniah atas usaha dan kesungguhan untuk melakukan perubahan. Dan bagi Jawatankuasa fatwa yang meluluskan, kita harapkan ijtihad mereka diterima di sisi Allah, jika tidak dua pahala, satu pahala masih milik mereka inshaAllah.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

16 Sha'ban 1430 H

08 Ogos 2009

Sunday, December 5, 2010

Fokus


بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah..
syukur dengan sebenar-benar kesyukuran dengan nikmat yg melimpah ruah drpd Allah subhanahuwataala....
nikmat iman..hidup dan sebagainya...

Alhamdulillah masih debiri kesempatan untuk menulis diruangan blog yg tidak seberapa ini..
tiada apa perkara penting yg hendak disampaikan kecuali
satu pengumuman buat semua pembaca blog ini...

insyaAllah selepas ini blog jiwamuslim ini akan lebih fokus kpd bidang yg lebih khusus
iaitu bidang ekonomi dan muamalat yg sedang sy pelajari sekarang ini..
insyaAllah dengan ilmu yg sy ada dan yg bakal sy pelajari
akan sy kongsikan kpd pembaca sekalian..

mohon doa drpd semua pembaca..
insyaAllah... =)

Friday, November 19, 2010

Doa Menghadapi Peperiksaan

Doa kami untuk semua!

Doa kami untuk semua!

1. KETIKA KELUAR RUMAH PADA HARI PEPERIKSAAN

بسم الله توكلت على الله : Dengan nama Allah aku berserah kepada Allah


2. KETIKA DALAM PERJALANAN KE DEWAN PEPERIKSAAN

يا ذالجلال والإكرام : Wahai Tuhan yang Maha Agung lagi Maha Mulia


3. KETIKA HENDAK MELANGKAH MASUK KE DEWAN PEPERIKSAAN (melangkah dengan kaki kanan)

سلام قولا من رب رحيم : Selamat Sejahtera ucapan dari Tuhan yang Maha Penyayang


4. KETIKA HENDAK DUDUK

إياك نعبد وإياك نستعين : Hanya kepada Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan


5. KETIKA MEMBUKA KERTAS SOALAN

اهدنا الصراط المستقيم : Tunjukkanlah kami (ya Allah) jalan yang lurus


6. KETIKA HENDAK MENJAWAB KERTAS SOALAN

إن الله كان عليما حكيما : Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui lagi Maha

Bijaksana


7. KETIKA MENGHADAPI SOALAN SUSAH

وكان ذلك على الله يسيرا : Yang demikian itu adalah mudah bagi Allah


8. KETIKA MENYEMAK SOALAN

إن الله كان بكل شئ عليما : Sesungguhnya Allah maha Mengetahui segala sesuatu


9. KETIKA MENYERAH KERTAS JAWAPAN

إن ربي غفور رحيم : Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang


** Bacaan di atas adalah sebagai doa tambahan daripada doa-doa yang biasa diamalkan oleh para pelajar.

Sunday, November 14, 2010

Buat mu.......

Ya-Allah...
Aku hanyalah hamba-Mu yang hina
Penuh kesilapan dan dosa
Keaibanku jika tersingkap sungguh aku malu bertemu manusia
Namun aku cuba juga memartabatkan agamamu di mana sahaja aku berada
Walaupun aku seringkali menjadi fitnah kembali buat agamaMu yang mulia

Lalu aku malu untuk mengidam teman seperjuangan hidup seperti Fatimah RA
Kerana aku amatlah jauh daripada secebis sifatnya Ali RA
Malu aku untuk memohon kekasih hidup seperti Aisyah RA
Kerana akhlak RasulMu jauh sekali dibandingkan diriku seorang hamba

Namun tetap kuyakin janjiMu cuma
Lelaki yang baik untuk wanita yang baik tentu pastinya
Namun ungkapan itu bukan retorika semata
Kutahu ia perlu dibuktikan secara nyata

Oleh itu Ya-Allah
Jadikanlah aku lelaki yang mencintaiMu melebihi segalanya
Jadikan aku hamba yang sentiasa mencari daripadaMu keampunan dan redha
Jangan biarkan aku melupakanMu walau sedetik cuma
Tingkatkan keimanan dan ketakwaanku kepadaMu
Ampunkanlah segala dosa-dosaku
Berilah daku peluang memperbaiki diriku sebelum nyawaku kauambil

Biar siapapun yang bakal menjadi teman hidupku Ya Rabb
Aku berharap cuma dia adalah seorang yang juga berusaha mencintaiMU sepenuh hatinya
Agar andai aku kautakdirkan tergelincir
Peringatan dan nasihatnya mengembalikan kami ke landasanMu yang lurus
Sungguh aku benar-benar hina dan tidak mampu berharap lebih
Melainkan seseorang yang mencintaiMu melebihi sesiapapun di atas dunia ini

Kabulkanlah doa hambaMu yang hina ini Ya-Rabb...

Tuesday, November 9, 2010

upin-ipin -------> yahudi? i dont think so...


Baru tadi aku ternampak satu note yang kawan aku share dekat facebook tentang satu isu yang kononya adalah agenda yahudi. Agenda yahudi yang kita tahu sentiasa merancang nak menjatuhkan, dan melemahkan umat islam dari dulu, sekarang, sampai la ke akhir zaman..


korang boleh baca dekat note ni.

by Asan Ramli on Wednesday, 03 November 2010 at 02:12

**SEBELUM TU SAYA MOHON MAAF JIKA INI BERLAKU KEPADA PEMINAT SIRI INI DAN JANGAN CEPAT MELATAH..ISU INI BELUM LAGI DIKETENGAHKAN LAGI TAPI INSYALLAH SEMUA INI ADALAH QADA DAN QADAR ALLAH YANG MENENTUKAN DANBUKAN KEBETULAN ATAU TAK DISENGAJAKAN...***

***AKU DAPAT PON SECARA TAK SENGAJA DARI WEB KONSPIRASI YAHUDI***

Sebutlah Uffin bukan Upin, Upin dalam bahasa Aramaic bermaksud "Aku benci Rasul."


Sebutlah Ariffin bukan Ipin, Ipin dalam bahasa Syriac bermaksud " Aku suka Israel ."

Ini diburukkan lagi oleh penggunaan huruf "U" pada baju Upin dan "I" pada baju Ipin."U" bermaksud " USA ""I" bermaksud " Israel "

Terbuktilah bahawa Upin & Ipin juga merupakan agenda tersembunyi Yahudi dalam melemahkan akidah umat Islam. Mereka menggunakan Upin & Ipin sebagai jarum halus terbaru setelah mereka gagal dalam misi Pokemon, Doraemon,Digimon dan Mamula Moon.

LAGI SATU :

Baru-baru ini Syarikat Apple telah melancarkan iPhone 4g. Diharap ikhwah danakhawat semua dapat sama2 memboikot iPhone 4g kerana ia sebenarnya adalahagenda yahudi. ' i ' pada perkataan iPhone sebenarnya merujuk kepada ' Israel ' .4g pula bermaksud "god, gold, glory and girl". kalu kamu benar2 cintakanAllah dan rasul, sila sebarkan kepada semua umat Islam kalau tidak solatkamu tidak sah selama 40 hari 40 malam.

ANDA MENILAIKAN ADAKAH BETUL ATAU TIDAK..

***JADI KEPADA SESIAPA YANG BOLEH BONGKAR LAGI SILAKAN,KITA KONGSI KAN BERSAMA***


Dalam cerita upin ipin ni banyak nilai-nilai baik yang selalu di ceritakan. Contohnya diajar macam mana puasa, baca doa, buat baik dengan kawan-kawan, tak baik berbohong, dan macam-macam lagi. Semua tu agenda yahudi yang nak mempengaruhi budak-budak zaman sekarang?

Pesan aku, jangan mudah percaya dengan benda-benda yang orang share dekat media ni. Tak kira la note ke, video ke. Tengok dulu betul-betul, fikir dengan logik akal,jangan terima bulat-bulat dan cepat melatah..

p/s: suka tengok gelagat adik-adik sedara aku bila depan tv tengok cerita upin dan ipin. Kalau tengah main, mesti semua terus senyap khusyuk tengok kartun upin ipin. Kalau ada yang buat bising jugak, mula la ada yang kena marah. =)

Nilai Seorang Wanita...

Islam mewajibkan umatnya menutup aurat. Kewajipan ini sepertimana yang terakam dalam surah an-Nur ayat ke 31 yang bermaksud: 

''Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya''

manakah yang lebih mulia?

Pernah terjadi suatu kisah yang menceritakan tentang seorang gadis bukan Islam yang sangat terpikat dan mengagumi Islam. Dia juga sudah boleh memahami dan menerima segala-galanya tentang Islam kecuali satu perkara.

Mengapa wanita Islam mesti menutup aurat terutama memakai tudung?

Sudah banyak orang yang ditanya oleh gadis itu termasuk ustaz-ustaz dan orang Islam lainnya. Namun dia masih belum dapat berpuas hati dengan jawapan-jawapan mereka semua.

Pada suatu hari, kawan gadis itu telah membawanya berjumpa dengan seorang ustaz pula. Pada mulaya dia agak keberatan.

“Rasanya, sama sahaja jawapan daripada ustaz-ustaz itu. Tidak payahlah kita pergi membuang masa kita dengan menemui mereka.”

Kawannya yang sudah Islam itu terus memujuk, “Cubalah dahulu sahabat, bukan salah kita mencuba. Thomas Edison dan Kapten Fried juga hanya berjaya setelah ribuan kali percubaannya.”

“Tapi ini soal agama? Aku yakin Tuhan punyai sebab mengapa hanya wanita Islam sahaja yang diperlukan menutup keseluruhan badan kecuali wajah dan kedua tapak tangan. Manakala aurat lelaki hanya dari pusat ke lutut. Pasti ada sebabnya, tapi nampaknya orang Islam sendiri pun kurang mengerti.”

“Engkau perli aku ya?” Kawannya itu mencebik. Dia buat tidak endah. Kawannya mengalah, terus memujuk.

“Baiklah, ini yang terakhir. Kalau jawapannya kurang memuaskan hatimu, kita berhenti.” Tiada cara lain untuk memujuk sahabatnya itu melainkan melafazkan janji sebegitu.

Mereka berdua pergi berjumpa dengan ustaz tersebut.

“Maaf ustaz, inilah sahabat yang saya maksudkan tempoh hari. Alhamdulillah dia sudah mempercayai tentang Islam dan isinya. Cuma yang menyekat dirinya daripada melafazkan syahadah ialah kerana dia tidak dapat menerima alasan mengapa Islam menyuruh penganut wanitanya menutup aurat.”

Ustaz muda yang berjanggut sejemput itu tersenyum. Seakan faham dia pada masalah yang menjadi halangan kepada gadis itu.

Sejurus kemudian dia bersuara kepada gadis itu.

“Boleh saya bertanyakan beberapa persoalan dan awak jawap dengan sejujur mungkin?”

“Boleh, tidak ada masalah.” Tingkah si gadis.

“Baiklah, kamu pernah ke pasaraya?”

“Pernah.”

“Pernah masuk ke kedai emas?”

“Pernah.”

“Pernah ke pasar malam?”

“Pernah.”

Ustaz muda itu terdiam sejenak. Lantas menyambung kembali persoalannya.

“Baik, antara tempat-tempat yang saya nyatakan tadi di manakah dipamerkan atau dijual batu permata, intan berlian, emas perak yang mahal-mahal harganya?”

“Tentu sahaja di kedai emas.”

“Bagaimana keadaannya?”

“Diletakkan di para yang cantik untuk pameran, dilindungi cermin yang kukuh dan kalis peluru untuk mengelak dari dikhianati. Bahkan mungkin tersimpan di dalam peti besi bagi tujuan keselamatannya dan hanya boleh dilihat oleh orang-orang tertentu sahaja.”

“Bagaimana pula dengan barangan kemas dari jenis yang sama namun barangan tiruan. Di manakah tempat mereka?”

“Jika yang sebegitu, mudah sahaja dijumpai di tepi-tepi jalan, malah sentiasa terdedah dan tidak ada yang sudi mencurinya kerana kemurahannya itu.”

Mata sahabat gadis itu bersinar, “Ada harapan,” katanya di dalam hati.

Ustaz tersebut segera menerangkan maksud analogi itu.

“Begitulah juga Islam yang sentiasa meletakkan wanita di tempat yang tinggi dan perlu sentiasa terjaga. Kewajipan menutup aurat adalah kerana tubuh badan seorang wanita itu adalah sangat berharga dan suci, mana mungkin kemuliaan dan kesucian seorang wanita itu dipamerkan kepada manusia yang tidak sepatutnya? Ibarat emas permata, intan berlian yang sentiasa terjaga dan dilindungi malah diletakkan di dalam bekas yang cantik dan selamat.”

Gadis berdua itu terpana. Jelas, terang lagi bersuluh. Sahabatnya tidak putus mengucapkan syukur.

Dia berkata, “Jika begitu ustaz, mereka yang tidak menutup aurat ibarat barangan murahan yang dapat dijumpai di tepian jalan, boleh dipegang sesuka hati malah harga sangat murah? Jika begitu, benarlah suruhan Allah untuk wanita menutup aurat sepertimana yang termaktub dalam surah an-Nur ayat ke-31.”

Ustaz itu hanya tersenyum sambil mengangguk.

Dan si gadis itu berkata dengan lancar dan tenang, “Tiada Tuhan melaikan Allah, nabi Muhammad pesuruh Allah.”

Semua melafazkan syukur~

sumber: http://kalamkhalifah.blogspot.co

Tuesday, October 26, 2010

10 Soalan Sebelum Meminang

Membuat keputusan untuk berkahwin bukanlah suatu perkara yang mudah. Perkahwinan bererti memasuki suatu alam yang berlainan sama sekali dengan alam yang pernah dilalui sebelumnya, bak kata Tan Sri S M Salim dalam salah satu lagunya, ‘dulu lain sekarang lain, dulu bujang sekarang dah kahwin’.

Setiap pasangan yang berkahwin pastinya mengharapkan perkahwinan itu kekal bahagia buat selama-lamanya. Ramai yang berjaya. Namun tidak kurang pula yang kecewa.

Al-Ustaz Jasim Muhammad al-Mutawwa’, bekas kadi ahwal syakhsiyyah di Kuwait yang kini aktif mengadakan program-program berbentuk bimbingan kekeluargaan, berdasarkan pengalaman dan pengamatannya ketika mengendalikan kes-kes berkaitan dengan masalah rumahtangga menyimpulkan antara sebab berlakunya keretakan dan kegagalan dalam perkahwinan adalah kurang taaruf atau tidak mengenali antara satu sama lain dengan mendalam sebelum berkahwin.

Taaruf yang mendalam atau mengenali bakal teman hidup sebelum melangsungkan perkahwinan sangat penting demi menjamin kesejahteraan dan keseimbangan dalam menjalani kehidupan berumahtangga. Ini tidak bermakna pasangan mesti melalui alam percintaan sebelum berkahwin, kerap bertemu dan berhubung melalui panggilan telefon, sms, chating dan sebagainya.

Percintaan sebelum berkahwin seperti yang dilakukan oleh segolongan masyarakat dan ditonjolkan dalam segala macam media sebagai suatu kemestian, suatu dunia yang penuh dengan keindahan dan keseronokan adalah sebenarnya penipuan belaka. Alam percintaan tidak mendedahkan hakikat diri yang sebenarnya. Masing-masing berusaha menunjukkan yang terbaik sahaja di hadapan pasangannya. Setelah berkahwin barulah terbongkar segala rahsia, segala perangai dan sikap buruk yang selama ini disembunyikan.

Untuk mengenali calon pasangan hidup anda dengan mendalam, al-Ustaz Jasim Muhammad al-Mutawwa’ mencadangkan agar anda mengajukan 10 soalan. Soalan-soalan ini boleh diajukan secara langsung semasa sesi taaruf, atau melalui orang tengah. Jika calon memilih untuk bertemu, melihat dan berkenalan pastikan pertemuan itu tidak dilakukan secara berdua-duaan di tempat suci dan terpencil. Jangan cemari niat yang suci dengan melanggari perintah Allah dan Rasul. Jangan relakan syaitan menjadi orang ketiga di antara anda dengan si dia.

10 soalan itu adalah:

1. Apakah wawasan hidupnya?

Setiap orang mempunyai wawasan dan cita-cita yang ingin dicapai dalam hidupnya. Inilah yang perlu anda ketahui mengenai bakal pasangan hidup anda. Sekiranya anda dan dia mempunyai wawasan dan matlamat hidup yang sama maka perselisihan dalam rumahtangga akan berkurangan.

2. Bagaimanakah kefahamannya mengenai konsep perkahwinan?

Kefahaman serta tasawur yang jelas mengenai perkahwinan amat penting. Sekiranya kedua-dua pihak mempunyai kefahaman yang berbeza, umpamanya satu pihak menganggap perkahwinan hanya sekadar memenuhi tuntutan nafsu semata-mata, sedang satu pihak lagi memandang sebagai satu ibadah, sudah semestinya rumahtangga yang bakal dibina tidak akan aman daripada perselisihan dan pergaduhan.

3. Apakah sifat-sifat yang digemari dan tidak digemarinya?

Adalah penting bagi setiap pasangan mengetahui kegemaran pasangannya, apa yang disukai dan tidak disukainya kerana kadang-kadang perselisihan berlaku disebabkan kelainan kegemaran dan citarasa. Sekiranya kegemaran setiap pihak diketahui terlebih awal mungkin perselisihan dapat dielakkan.

4. Apakah pandangannya mengenai anak pada tahun pertama perkahwinan?

Setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza mengenai masa yang sesuai untuk menimang cahaya mata. Sekiranya satu pihak belum bersedia sedang pihak yang satu lagi sudah tidak sabar untuk bergelar ibu atau ayah, pastilah kedua-dua pihak akan berasa tertekan dan perhubungan akan jadi tegang.

5. Adakah dia mempunyai masalah kesihatan atau kecacatan?

Masalah kesihatan yang kronik atau kecacatan semula jadi pada anggota badan tidak wajar disembunyikan. Mengetahui adanya penyakit atau kecacatan tertentu akan mempengaruhi keputusan yang bakal diambil. Menyembunyikan penyakit yang kronik atau kecacatan yang mengaibkan boleh dianggap sebagai satu penipuan.

6. Adakah dia seorang yang suka bergaul?

Sesetengah orang suka bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat, mempunyai kawan dan kenalan di merata-rata tempat. Sesetengah yang lain pula suka menyendiri, tidak pandai berkawan dan sukar didampingi. Orang macam mana yang anda cari?

7. Bagaimana hubungannya dengan ahli keluarganya?

Perkahwian bukan sekadar aqad yang mempertemukan antara dua jiwa. Sebaliknya perkahwinan merupakan hubungan kemasyarakatan yang mencantumkan antara dua keluarga atau lebih. Oleh itu bakal tunangan harus tahu status keluarga serta hubungan mereka antara satu sama lain. Hubungan kekeluargaan juga sedikit sebanyak menggambarkan keperibadian seseorang.

8. Apakah kegemarannya dan bagaimana dia mengisi waktu lapangnya?

Kegemaran serta cara seseorang memenuhi masa lapangnya juga memberi gambaran tentang wawasan serta cita-citanya dalam hidup ini.

9. Adakah dia aktif dalam mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pertubuhan kebajikan?

Keaktifan dalam persatuan kebajikan atau pertubuhan sukarela menggambarkan dia bukan seorang yang sombong dan mementingkan diri. Orang yang hidupnya sekadar untuk memenuhi cita-cita dan wawasan peribadi semata-mata sebenarnya hidup dalam dunia yang sempit dan mati sebagai insan yang kerdil. Tetapi orang yang hidup dalam perjuangan akan hidup sebagai insan yang hebat dan apabila dia mati namanya akan dikenang zaman-berzaman.

10. Apakah pandangannya sekiranya ibu bapa masuk campur dalam urusan peribadi atau urusan rumahtangga mereka?

Setengah orang menganggap rumahtangga adalah masalah peribadi yang terlalu khusus. Tiada seorang pun yang boleh masuk campur walaupun ibu bapa sendiri. Hal ini sangat penting diketahui oleh setiap orang yang akan memasuki gerbang perkahwinan. Apakah pandangan bakal pasangan hidupnya. Adakah dia termasuk dalam golongan di atas atau sebaliknya seorang yang terlalu bergantung kepada kedua-dua ibu bapanya walaupun telah berkeluarga?

Apabila anda telah mendapat jawapan yang bersesuaian dengan apa yang dicari, maka teruskanlah hasrat anda untuk melamarnya. Begitu juga halnya dengan pihak yang dilamar. Pastikan anda mengenali jejaka yang melamar itu dengan mengajukannya 10 soalan di atas.



Ustazah Maznah Daud

Ketua Wanita

Pertubuhan IKRAM Malaysia

"Ukhuwah Teras Kegemilangan"


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...